Konvoi SEAHOG 2012 selamat tiba di Bintulu



 

BINTULU: Seramai 265 peserta Jelajah Kumpulan Pemilik Harley Asia Tenggara (SEAHOG) 2012 selamat tiba di bandar Bintulu selepas berlepas dari Kuching dan berada di Sri Aman dan Sibu semalam.
 
Jelajah itu melibatkan 147 buah motosikal Harley Davidson milik peserta dari China, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Norway, Switzerland, Australia, Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Belanda dan Malaysia sendiri.
 
Jelajah SEAHOG kedua itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan Sarawak, The Harley Davidson Kuala Lumpur, Lembaga Pelabuhan Bintulu, Red Bull, Kumpulan KTS, Rimbunan Hijau dan Borneo Alliance.
 
Manakala The Borneo Post sebagai media rasmi jelajah itu.
 
Jelajah selama sembilan hari itu turut disertai oleh Presiden SEAHOG Cabang Malaysia, Choo Kai Mun dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan NAZA, Datuk SM Zulkifli SM Amin.
 
Peserta bergerak dengan motosikal Harley sejauh 2,500 kilometer singgah di bandar-bandar utama negeri ini dari Kuching ke Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri serta merentasi sempadan ke Brunei Darussalam sebelum kembali semula ke Kuching.
 
Peserta turut diiringi polis, ambulans, mekanik, dua bas pesiaran, tiga pacuan empat roda dan dua buah lori.
 
Sementara itu, peserta konvoi telah disambut mesra oleh Setiausaha Bahagian (Pihak Berkuasa Tempatan Perkhidmatan Alam Sekitar) Lembaga Kemajuan Bintulu, Wan Ibrahim Wan Ali, Pengurus Kanan (Perkhidmatan Perbandaran), Awang Ali Pengiran Amin dan Pengurus (Penolong Setiausaha) BDA, Latif Upit yang mewakili Pengurus Besar BDA, Datu Mohidin Ishak di Wisma Bintulu BDA di sini semalam.
 
Sempena ketibaan peserta itu, Wan Ibrahim turut menyampaikan taklimat mengenai perkembangan pembangunan ekonomi bandar Bintulu termasuk mengenai kemudahan-kemudahan yang disediakan di bandar itu, kemudahan pelabuhan laut dalam, bekalan tenaga dari Empangan Hidroelektrik Bakun serta pembangunan industri minyak dan gas oleh syarikat-syarikat multinasional di samping industri-industri lain di Tanjung Kidurong.
 
Peserta turut diberi taklimat ringkas mengenai pelaburan yang mencecah bilion ringgit di Taman Perindustrian Samalaju di bawah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).
 
Sumber: http://www.theborneopost.com/2012/11/19/konvoi-seahog-2012-selamat-tiba-di-bintulu/#ixzz2OqXKOIzp

 
 
 
Statistik Pelawat
 
Kami ada di  Pautan ke Versi Mobile Pautan ke Newsletter Subscribtion Pautan ke Suapan RSSPautan ke Facebook Pautan ke Instagram

pautan ke laman web

 
 
 
 
Senarai Keseluruhan Agensi bagi Pensijilan EKSA
Arkib Elektronik
W3C
Multi Language [EN] | [MY]
Advanced Search Function
myprestasi MyHRMIS Mobile